Oleh Ahmad Naim Tahir dan Norfatimah Ahmad
bhnews@bharian.com.my
Pak Lah menghadap Tuanku Mizan serah surat letak jawatan KUALA LUMPUR:
Proses peralihan kuasa kepemimpinan negara bermula semalam apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menyerahkan surat melepaskan jawatannya dan memohon perkenan melantik Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri keenam. Abdullah dilihat memasuki pekarangan Istana Negara di sini, kira-kira jam 10 pagi dengan menaiki Proton Perdana bernombor WCH 13 dan keluar kira-kira sejam selepas itu sambil tersenyum dan melambai kepada wakil media yang menunggu di luar istana.
Najib, 55, yang mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Abdullah pada Perhimpunan Agung parti itu minggu lalu, turut menghadap Yang di-Pertuan Agong setengah jam selepas itu. Timbalan Perdana Menteri dilihat memasuki perkarangan istana pada jam 11.25 pagi dan beredar kira-kira 45 minit dengan menaiki Proton Perdana bernombor pendaftaran WRP 11. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan Sultan Mizan memperkenankan pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri keenam.
Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan serta sumpah simpan rahsia di hadapan Seri Paduka akan diadakan di Istana Negara pada jam 10 pagi ini. Mohd Sidek berkata, istiadat bersejarah itu akan berlangsung seperti dijadualkan dan semua persiapan sudah diatur untuk memastikan upacara berkenaan berjalan lancar. "Selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib akan menandatangani surat menyimpan rahsia kerajaan sepanjang tempoh menduduki kerusi tertinggi kerajaan," katanya. Mohd Sidek berkata, orang kenamaan tempatan dan wakil negara asing turut dijemput untuk menyaksikan istiadat itu, yang dijangka selesai sebelum tengah hari.
No comments:
Post a Comment