Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my
MELAKA: Kerajaan negeri menjangkakan kira-kira 6,400 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor terutama perkilangan dapat diwujudkan berikutan kesediaan beberapa kilang mengambil semula pekerja selain kemasukan pelaburan asing baru bernilai RM2.3 bilion untuk membina kilang di Alor Gajah, tahun ini.Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata tindakan positif beberapa kilang yang bersedia menggaji semula pekerja yang diberhentikan serta kemasukan pelaburan baru oleh Sunpower dijangka mampu menjana peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini.Menurutnya, Sunpower yang juga syarikat pengeluar sel solar dari San Jose, California, Amerika Syarikat (AS) sudah memeterai perjanjian dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) bagi membuka sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Rembia di Alor Gajah, dekat sini.“Setakat ini, biarpun kegawatan ekonomi melanda dunia, pelaburan di Melaka tidak terjejas kerana jumlah pekerja yang diberhentikan masih kecil berbanding keseluruhan pekerja kilang di sini ketika ini. Selain menerima pampasan, pekerja terbabit turut ditawarkan bekerja di kilang lain.
“Daripada 3,454 pekerja terutama membabitkan sektor perkilangan yang dibuang kerja akibat krisis ekonomi dunia tahun lalu, sehingga kini kira-kira 1,800 daripadanya sudah mendapat kerja semula.
“Bagaimanapun, seramai 1,654 orang lagi masih menganggur dan saya berharap mereka dapat menggunakan peluang untuk menceburi bidang perkhidmatan seperti perhotelan dan pusat beli-belah yang masih banyak kekosongan. Saya juga dimaklumkan kilang Infinion Technologies (Malaysia) Sdn Bhd akan mengambil kira-kira 500 pekerja dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya selepas melakukan lawatan ke kilang terbabit di Batu Berendam, semalam.Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md Yunos Husin.Mohd Ali berkata, jumlah kemasukan pelaburan terus asing (FDI) ke Melaka setakat ini melebihi sasaran RM3 bilion setahun yang ditetapkan serta meletakkan negeri ini sebagai destinasi utama pelabur asing.Katanya, jumlah pelabur tempatan juga amat membanggakan apabila syarikat Cahaya Mata Sarawak sudah memeterai perjanjian pembelian tanah industri di pelbagai lokasi.membabitkan nilai sebanyak RM5 bilion, Actis Biologics di Taboh Naning (RM1.5 bilion) dan Vivo Bio di Rembia (RM450 juta).“Sehingga ini, seramai 86,732 pekerja kilang berkhidmat di pelbagai sektor dan jumlah ini belum lagi dikira keperluan 4,000 lagi pekerja oleh kilang Sunpower manakala syarikat berasaskan biotek iaitu Actis Biologics memerlukan tenaga kerja seramai 12,000 orang sebaik ia beroperasi sepenuhnya menjelang tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment