Pengurus Besar Filem & Drama, Primeworks Studios, Ahmad Puad Onah berkata, seperti Rabun dan Mukhsin, pihaknya yakin Talentime juga akan mendapat sambutan hangat daripada penonton."Talentime yang membabitkan bajet RM1.5 juta termasuk promosi adalah filem ketiga Yasmin bersama Primeworks Studios selepas Rabun dan Mukhsin. "Rabun adalah filem pertama kita yang dicalonkan untuk kategori Filem Terbaik pada Festival Antarabangsa Torino 2003 dan Mukhsin mengungguli pelbagai anugerah antarabangsa termasuk di Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-57."Berdasarkan maklum balas positif menerusi pratonton sebelum ini, kami yakin, Talentime akan memberi peluang kepada kita untuk memperkenalkan karya anak tempatan kepada masyarakat antarabangsa sekaligus mengangkat dan memartabatkan industri perfileman tanah air di persada seni dunia," katanya. Ahmad Puad berkata, Talentime mempunyai pendekatan sederhana, mengekalkan emosi yang cukup dalam dan bermakna serta dipersembahkan dengan tulus seperti karya Yasmin terdahulu. "Sebagaimana filem Yasmin sebelum ini, Talentime, filem bersifat kritis dalam soal perhubungan dengan mengangkat kepelbagaian kaum dan kehidupan masyarakat di Malaysia. Dia membuatkan penonton sering berasa dekat dengan paparannya kerana setiap pengkisahan adalah realiti."Soal perhubungan dalm setiap pengkisahannya di layar perak juga menjadi paparan Talentime yang bertumpu pada kehidupan dua keluarga berlainan latar pendidikan, bangsa dan agama. Talentime juga digarap Yasmin menjadi sebuah filem yang cukup indah dan menyentuh jiwa," katanya. Ahmad Puad ditemui ketika malam gala dan pratonton filem Talentime di Cathay Cineplex, Damansara, baru-baru ini.Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan. Majlis petang itu disemarakkan dengan persembahan hiburan oleh Aizat dan Atilia.
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment